Semasa Israk
( Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa ):
Sepanjang
perjalanan (Israk) itu Rasulullah S.A.W diiringi (ditemani) oleh malaikat
Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia
dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan
bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:
Negeri
Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah,
Bukit
Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A.S. menerima wahyu daripada Allah,
Baitul-Laham
(tempat Nabi 'Isa A.S. dilahirkan),
Dalam
perjalanan itu juga baginda Rasulullah S.A.W menghadapi gangguan jin 'Afrit
dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat
ajaib. Peristiwa-peristiwa tersebut adalah seperti berikut :
Kaum yang
sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil
(buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku
berulang-ulang. Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail: Itulah kaum yang
berjihad "Fisabilillah" yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700
kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.
Tempat yang
berbau harum.Rasulullah S.A.W diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur
Masitah (tukang sisir rambut anak Fir'aun) bersama suaminya dan anak-anaknya
(termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh
oleh Fir'aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui
Fir'aun sebagai Tuhan).
Sekumpulan
orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala
mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali.
Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka
untuk sujud (sembahyang).
Sekumpulan
orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebeis kain.
Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari
neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan
zakat harta mereka.
Satu kaum,
lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging
masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang
melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai
isteri/suami.
Lelaki yang
berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang
yang makan riba.
Lelaki yang
menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi
kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi
masih menerima amanah yang lain.
Satu kaum
yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi
berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti
biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu
yang dia sendiri tidak melakukannya.
Kaum yang
mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah
orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela,
menghinakan) orang.
Seekor lembu
jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula
lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian
menyesal, tapi sudah terlambat.
Seorang
perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak
memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian
kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.
Seorang
perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti.
Rasulullah S.A.W tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensia-siakan
umurnya sampai ke tua.
Seorang
perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata
Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari
kiamat.
Setibanya di
masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun daripada Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid
dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia dan mursalin menjadi
makmum.
Rasulullah
S.A.W terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu.
Rasulullah S.A.W memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat
pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan
menjadi sesat.
Semasa Mikraj
( Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah S.W.T)
Didatangkan
Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S.A.W dan Jibrail naik ke
atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).
Di Langit
Pertama: Rasulullah S.A.W dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu
berjumpa dengan Nabi Adam a.s. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan
riba dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan
mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina
perempuan.
Di Langit
Kedua: Nabi S.A.W dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk
dan bertemu dengan Nabi Isa A.S. dan Nabi Yahya A.S.
Di Langit
Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A.S.
Di Langit Keempat: Naik
tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A.S.
Di Langit
Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A.S. yang
dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.
Di Langit
Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya
dengan Nabi Musa A.S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu
dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk
syurga tanpa hisab.
Di Langit Ketujuh: Naik
tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim
Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Makmur dihadapi oleh beberapa
kaumnya. Kepada Rasulullah S.A.W, Nabi Ibrahim A.S. bersabda, "Engkau akan
berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu
dhaif, maka berdoalah untuk umatmu.
Suruhlah
umatmu menanam tanaman syurga iaitu LA HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH Mengikut
riwayat lain, Nabi Ibahim A.S. bersabda, "Sampaikan salamku kepada umatmu
dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya
ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA LA ILAHA ILLALLAH
ALLAHU AKBAR dan WA LA HAULA WA LA QUWWATA ILLA BILLAHIL- 'ALIYYIL-'AZHIM. Bagi
orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam
syurga".
Setelah
melihat beberpa peristiwa lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke
dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas
Baitullah di Mekah).
Di Tangga
Kelapan: Di sinilah disebut "al-Kursi" yang berbetulan dengan
dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S.A.W menyaksikan pelbagai keajaiban
pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan
sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan
bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan.
Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S.A.W dapat
menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya
baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.
Di Tangga
Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha.
Rasulullah S.A.W masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam.
Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur 'Arasy, iaitu lelaki
di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada
masjid dan tidak memaki ibu bapanya.
Di Tangga
Kesepuluh: Baginda Rasulullah sampai di Hadhratul-Qudus dan Hadhrat
Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah SWT dengan mata kepalanya, lantas
sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:
Allah SWT :
Ya Muhammad.
Rasulullah :
Labbaika.
Allah SWT :
Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan.
Rasulullah :
Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia
kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud
kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan
kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan
Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan Isa Taurat
dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan
menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan.
Allah S.W.T :
Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira
dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan
umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari
kiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan
kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai
suatu perbendaharaan di bawah 'Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan
Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu
panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah
panji-panjimu. Dan Aku fardukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu)
sembahyang.
Selesai
munajat, Rasulullah S.A.W di bawa menemui Nabi Ibrahim A.S. kemudian Nabi Musa
A.S. yang kemudiannya menyuruh Rasulullah S.A.W merayu kepada Allah S.W.T agar
diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan
kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan
memfardukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya
sebanyak 50 waktu juga.
Selepas
Mikraj:
Rasulullah
S.A.W turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu
menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam
perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya
menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada
satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18
bulan sebelum hijrah). Wallahu'alam.